Saya Mestilah Dapat Menguasai Diri
Di
dalam kehidupan ini insan bertarung dengan dirinya sendiri. Adakalanya ia menang
dan adakalahnya ia kecundang atau ia tetap dalam pertarungan yang berterusan.
Sememangnya pertarungan ini berterusan sehinggalah ajal maut menjemputnya.
Firman Allah:
وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا
وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا
Maksudnya:Demi
diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai
dengan keadaannya); 8- Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang
membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; 9-
Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih
bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), 10- Dan sesungguhnya
hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam
kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (Surah Asy-Syams 91: Ayat
7-10)
Maksud
inilah yang terkandung dalam sabda yang diisyaratkan oleh baginda
s.a.w:
تعرض الفتن على القلوب كالحصير عودا عودا فأيما قلب أشربها نكت فيها نكتة السوداء وأيما قلب أنكرها نكت
فيها نكتة بيضاء حتى تصير على أحد قلبين: على أبيض مثل الصفاة فلا تضره فتنة
والآخر أسود مربادا لا يعرف معروفا ولا ينكر منكرا
Fitnah
akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak
antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan
terlekat padanya bintik-bintik hitam. Begitu juga mana-mana hati yang tidak
dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati
tersebut terbahagi dua: Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang
tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada. Manakala
sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat,
tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran.
Dalam
pertarungan menghadapi nafsu manusia terbahagi kepada 3
golongan:
1. Golongan yang tunduk mengikut hawa nafsu
mereka.
Mereka
hidup dengan keseronokan di atas muka bumi ini dan ingin hidup berkekalan di
dunia. Mereka adalah orang-orang kafir dan orang yang mengikuti jejak langkah
mereka. Golongan ini melupai (kebesaran dan nikmat) Allah, lalu Allah juga
membiarkan mereka. Di dalam Al-Quran Allah menyifatkan mereka sebagai orang yang
mempertuhankan hawa nafsu, firman Allah:
أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ
عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَنْ
يَهْدِيهِ مِنْ بَعْدِ اللَّهِ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ
Maksudnya:Dengan
yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang
menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya dan dia pula disesatkan oleh
Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar) dan dimeteraikan pula
atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas
penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya
sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu
(wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?. (Surah Al-Jathiyah 45:
Ayat 23)
2. Golongan yang
bermujahadah dan bertarung menentang hawa nafsunya.
Dalam
menentang hawa nafsunya ada kalanya golongan ini mencapai kemenangan dan ada
kalanya mereka kecundang. Apabila terlibat dalam kesalahan mereka segera
bertaubat. Begitu juga bila mereka melakukan maksiat mereka segera sedar dan
menyesal serta memohon keampunan dari Allah. Allah
berfirman:
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا
أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ
الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ
Maksudnya:
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri
sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka
dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka
juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan
mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Surah Al-'Imran 3: Ayat
135)
Inilah
golongan yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam
sabdanya:
كل بني آدم خطاء وخيرا الخطاءين التوابون
"Setiap
anak Adam (manusia) itu melakukan kesalahan, sebaik-baik orang yang melakukan
kesalahan (dosa) ialah mereka yang bertaubat. (Hadis riwayat Ahmad dan
Tirmizi)
Sehubungan
dengan pengertian inilah diriwayatkan satu kisah oleh Wahab Bin Munabbih yang
mengatakan: "Sesungguhnya Iblis pernah
bertemu dengan Nabi Allah Yahya bin Zakaria a.s, lalu Nabi Zakaria a.s berkata
kepada Iblis: "Ceritakan kepadaku tabiat perangai manusia menurut pandangan
kamu". Lalu Iblis menjawab:
1. Golongan pertama dari manusia ialah seperti
kamu ini. Mereka ini terpelihara (dari kejahatan dan dosa).
2. Golongan yang kedua adalah mereka yang
berada dalam genggaman kami sebagaimana bola berada di tangan anak-anak kamu.
Mereka menyerah diri mereka bulat-bulat kepada kami.
3. Golongan
yang ketiga ialah golongan yang sangat sukar untuk kami kuasai mereka. Kami
menemui salah seorang dari mereka dan kami berjaya memperdayakannya dan mencapai
hajat kami tetapi ia segera memohon keampunan (bila ia sedar) dan dengan
istighfar itu rosaklah apa yang kami dapati darinya. Maka kami tetap tidak
berputus asa untuk menggodanya dan kami tidak akan mendapati hajat kami
tercapai.
Sendi-sendi
Kekuatan Dalam Memerangi Nafsu.
1. Hati: Hati akan menjadi benteng yang kuat dalam
memerangi nafsu sekiranya hati itu hidup, lembut, bersih, cekal dan selalu
mengingati pesanan Sayidina Ali yang berbunyi:
"Sesungguhnya
Allah s.w.t mempunyai bejana di atas buminya iaitu hati-hati ... maka hati yang
paling disukai oleh Allah s.w.t ialah hati yang lembut, bersih dan cekal.
Kemudian Sayidina Ali mentafsirkan (kalimah-kalimah tersebut dengan) katanya:
Cekal dalam pegangan agama, bersih di dalam keyakinan dan lembut terhadap
saudara-saudara mukmin.
Sayidina
Ali juga berkata:
"Hati
seorang mukmin itu bersih, terdapat padanya pelita yang bercahaya. Hati seorang
kafir itu hitam serta berpenyakit".
Al-Quran
Al-Karim memberi gambaran tentang hati orang-orang mukmin menerusi firman
Allah:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ
عَلَيْهِمْ ءَايَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا
Maksudnya:
Orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila
disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman mereka.
(Surah Al-Anfal 8: Ayat 2)
Dalam
menggambarkan sifat-sifat hati orang kafir pula Allah
menjelaskan:
فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَكِنْ تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي
الصُّدُورِ
Maksudnya:
Kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta
itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. (Surah Al-Hajj 22: Ayat
46)
Allah
juga berfirman:
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْءَانَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا
Maksudnya:
(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha
memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci
penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)? (Surah Muhammad
47: Ayat 24)
2. Akal: Akal adalah (ciptaan Allah) yang dapat
melihat, mempunyai daya memahami sesuatu, mampu membezakan dan dapat menyimpan
sesuatu fahaman dari ilmu-ilmunya di mana dengan ilmu itu kelak ia dapat
menghampirkan diri dengan Allah, mengetahui keagungan Allah serta kekuatannya.
Akal seperti inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah:
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ
Maksudnya:
Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari
kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah
Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. (Surah Al-Fatir 35: Ayat
28).
Rasulullah
s.a.w menyebut betapa tingginya nilai akal ini dalam
sabdanya:
ما خلق الله خلقا أكرم عليه من العقل
"Allah
tidaklah mencipta suatu kejadian yang lebih mulia dari akal".
Rasulullah
s.a.w berpesan kepada Sayidina Ali Karramallahu wajhah:
إذ تقرب الناس إلى الله تعالى بأنواع البر فتقرب أنت بعقلك
"Apabila
manusia mendampingi Allah dengan melakukan berbagai amalan kebajikan maka engkau
dampingilah Allah dengan akal fikiran engkau".
Baginda
juga bersabda:
ما اكتسب رجل مثل فضل عقل يهدي صاحبه إلى هدى ويرده عن ردي
"Tidaklah
beruntung seorang lelaki (dengan satu pemberian) dibandingkan dengan kelebihan
kurniaan akal yang dapat membimbing pemiliknya kepada petunjuk dan menahannya
dari perkara yang buruk". (Hadis riwayat Al-Mujbir)
Oleh
kerana betapa tingginya nilai akal, maka Islam menganjurkan agar akal diisi
dengan ilmu dan makrifat serta mendalami segala urusan agama agar dengan
ilmu-ilmu itu akal menjadikannya sebagai sebab-akibat yang memandu segala
tindakan, membezakan di antara yang buruk dengan yang baik, di antara yang hak
dengan yang batil sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين
"Sesiapa
yang Allah inginkan kebaikan pada dirinya diberikan kefahaman yang mendalam
dalam agama".
Sabda
baginda lagi:
فضل العالم على العابد كفضلي على أدنى رجل من أصحابي
"Kelebihan
(keutamaan) seorang 'alim atas seorang 'abid (ahli ibadat) adalah seperti
kelebihanku atas orang yang paling rendah dari sahabat-sahabatku".
Semua
ini membuktikan betapa tingginya nilai dan kesan akal dalam proses membina
kekuatan insan di dalam diri manusia. Dengannya manusia dapat mengenali serta
dapat menyelami hakikat alam semesta dan rahsianya.
Oleh
yang demikian akal seorang mukmin itu adalah akal fikiran yang waras, dapat
membezakan buruk dan baik, halal dan haram, kebaikan dan kemungkaran kerana ia
melihat segala perkara dengan cahaya Allah yang dapat menembusi di sebalik
tutupan yang halus. Firman Allah:
وَمَنْ لَمْ يَجْعَلِ اللَّهُ لَهُ نُورًا فَمَا لَهُ مِنْ نُورٍ
Maksudnya:
Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang
peraturanNya mendapat cahaya (hidayat
petunjuk) maka dia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya
ke jalan yang benar). (Surah Al-Nur 24: Ayat 40).
Cahaya
akal seseorang mukmin itu sentiasa bersinar, tidak dapat dipadamkan kecuali oleh
kerja-kerja maksiat yang berkekalan, dilakukan pula secara terang-terangan dan
tidak pula diikuti dengan taubat. Rasulullah s.a.w
menjelaskan:
من قارف ذنبا فارقة عقل لا يعود إليه أبدا
"Sesiapa
yang melakukan dosa maka bercerailah akalnya dari dirinya, ia tidak akan kembali
kepadanya buat selama-lamanya".
Baginda
s.a.w juga bersabda:
لولا أن الشياطين يهمون على قلوب بني آدم لنظروا إلى ملكوت السموات والأرض
"Kalaulah
tidak kerana syaitan-syaitan itu mengelilingi hati anak-anak Adam nescaya mereka
dapat melihat (merenung) kerajaan Allah di langit dan di bumi".
Anas
bin Malik r.a menceritakan:
لما دخلت على عثمان رضى الله عنه وكنت قد لقيت إمرأة في طريقي فنظرت إليها شزرا وتأملت محاسنها فقال
عثمان لما دخلت: يدخل أحدكم وآثر الزنا على عينيه أما علمت أن زنا العينين النظر؟
لتتوبن أو لأعزرنك؟ فقلت أوحى بعد النبي؟ فقال: لا ولكن بصيرة وبرهان
وفراسة صادقة
"Semasa
aku masuk menemui Othman bin Affan r.a aku bertemu seorang wanita dalam
perjalanan, lalu aku sempat mengerling memandangnya dan tertarik kepada
kecantikannya. Lalu semasa aku menemuinya Othman berkata kepadaku: "Seorang dari
kamu menemuiku sedangkan kesan zina kelihatan pada kedua matanya". Adakah engkau
mengetahui bahawa zina mata itu ialah memandang? Hendaklah kamu bertaubat atau
aku akan mengenakan hukuman takzir. Lalu akupun bertanya? Adakah lagi wahyu
(kepadamu) selepas Nabi? Maka Othman menjawab: "Tidak, tetapi (dengan pandangan)
basirah hati burhan dan firasat yang benar".
Tanda-tanda
Ketewasan Jiwa
Apabila
hati manusia telah mati atau menjadi keras, apabila hati manusia telah menjadi
padam dan tidak bersinar lagi atau apabila ia telah tumpas dalam pertarungannya
menghadapi syaitan maka terbukalah pintu-pintu masuk segala kejahatan terutama
ke dalam dirinya, kerana syaitan itu meresap ke dalam diri anak Adam sebagaimana
pengaliran di dalam tubuhnya.
Sebenarnya
apabila benteng pertahanan dan kekuatan manusia telah runtuh maka syaitan akan
kembali menjadi teman karibnya sebagaimana firman Allah:
اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ فَأَنْسَاهُمْ ذِكْرَ اللَّهِ
Maksudnya:
"Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa kepada Allah".
(Surah Al-Mujadalah 58: Ayat 19)
Inilah
kandungan maksud yang dibayangkan oleh Al-Quran Al-Karim yang
menyatakan:
قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ
صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ(16)ثُمَّ لَآتِيَنَّهُمْ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ
خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَنْ شَمَائِلِهِمْ وَلَا تَجِدُ
أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ
Maksudnya:
Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka)
demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani)
jalanMu yang lurus; 17- Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta
dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau
tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur. (Surah Al-A'raf 7: Ayat
16-17)
Sebenarnya
selain dari penyakit di atas terdapat satu penyakit lain yang paling berbahaya
iaitu penyakit was-was, syaitan menyebabkan mereka merasa was-was dalam setiap
urusan hidup mereka dengan tujuan memesongkan mereka dari jalan Allah. Dalam hal
ini Rasulullah bersabda:
إن الشيطان قعد لإبن آدم بطريق فقعد له بطريق الإسلام فقال: أتسلم وتركت دينك ودين آبائك؟ فعصاه وأسلم ثم قعد له
بطريق الهجرة فقال: أتهاجر؟ أتدع أرضك وسماءك؟ فعصاه وهاجر ثم قعد له بطريق الجهاد
فقال: أتجاهد وهو تلف النفس والمال فتقاتل فتقتل فتنكح نساؤك
"Sesungguhnya
syaitan itu menghasut anak Adam dengan berbagai cara. Lalu (pertamanya) ia
menghasut melalui jalan agama Islam itu sendiri dengan berkata: Apakah kamu
menganut Islam dan meninggalkan agamamu dan agama nenek-moyangmu? Anak Adam
enggan mengikutinya dan tetap berpegang dengan Islam. Kemudian dia menghasut
pula di jalan hijrah, lalau dia berkata: Adakah anda ingin berhijrah
meninggalkan tanah air dan kampung halaman? Lalu anak Adam mengingkarinya dan
tetap berhijrah. Kemudian syaitan menghasut pula di jalan jihad dengan berkata:
"Adakah engkau ingin sedangkan jihad itu membinasakan jiwa dan harta benda
engkau, kemudian engkau berperang lalu engkau dibunuh, kemudian isteri engkau
dikahwini orang dan harta kekayaan engkau dibahagi-bahagikan. Lalu anak Adam
tetap mengingkari syaitan dan terus berjihad. Kemudian Rasulullah s.a.w
bersabda: Maka sesiapa yang bersikap demikian kemudian ia mati maka adalah hak
Allah s.w.t memasukkannya ke dalam syurga". (Hadis riwayat
Al-Nasa'i)
Alangkah
baiknya jikalau anda dapat menatap kisah antara syaitan dan seorang Rahib Bani
Israil dalam tafsir ayat Surah Al-Hasyr 59: Ayat 16. Yang
bermaksud:
كَمَثَلِ الشَّيْطَانِ إِذْ قَالَ لِلْإِنْسَانِ اكْفُرْ فَلَمَّا كَفَرَ قَالَ إِنِّي بَرِيءٌ
مِنْكَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ رَبَّ الْعَالَمِينَ
Maksudnya:
"(Pujukan orang-orang munafik itu) samalah dengan (pujukan) syaitan ketika dia
berkata kepada manusia: Kufurlah kamu. Maka tatkala manusia itu telah kafir dia
berkata: "Sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu kerana sesungguhnya aku takut
kepada Allah Tuhan semesta alam".
Cara-cara
Menghalang Godaan Syaitan.
Bagi
membantu manusia bagi menghadapi hasutan syaitan dan serangan-serangan Iblis,
Islam telah menunjukkan kepada manusia berbagai perkara yang dapat membantunya
bertahan menghadapi pertarungan dengan syaitan seterusnya berjaya menewaskan
musuh ketatnya itu. Cara tersebut telah dirumuskan oleh seorang dari para
salihin dengan katanya:
"Saya
telah merenung dan memikirkan cara-cara dari pintu manakah syaitan masuk ke
dalam diri manusia, ternyata ia masuk ke dalam diri melalui sepuluh
pintu:
Pertama:
Tamak
dan buruk sangka, maka aku menghadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan
berpada dengan apa yang ada.
Kedua:
Cintakan
kehidupan dunia dan panjang angan-angan, lalu aku menghadapinya dengan perasaan
takut terhadap kedatangan maut yang boleh berlaku saban
waktu.
Ketiga:
Cintakan
kerehatan dan kemewahan, lantas aku menghadapinya dengan keyakinan bahawa
kenikmatan itu akan hilang dan balasan buruk pasti
menanti.
Keempat:
Kagum
terhadap diri sendiri ('Ujub), lantas aku menghadapinya dengan rasa terhutang
budi kepada Allah dan kepada akibat yaburuk.
Kelima:
Memandang
rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka, lalu aku menghaddengan
mengenali hak-hak mereka serta menghormati mereka secara
wajar.
Keenam:
Hasad
(dengki), lalu aku menghadapinya dengan sifat berpada (qana'ah) dan reda
terhadap kurniaan Allah kepada makhluknya.
Ketujuh:
Riya'
dan sukakan pujian orang. Lalu aku menghadapinya dengan
ikhlas.
Kelapan:
Bakhil
(kedekut), lalu aku menghadapinya dengan menyedari bahawa apa yang ada pada
makhluk akan binasa manakala yang kekal itu berada di sisi
Allah.
Kesembilan:
Takabbur
(membesarkan diri), lalu aku menghadapinya dengan rasa
tawaduk.
Kesepuluh:
Tamak
haloba, lalu aku menghadapinya dengan mempercayai ganjaran yang disediakan di
sisi Allah dan tidak tamak terhadap apa yang ada di sisi
manusia.
Di
antara arahan-arahan yang di anjurkan oleh Islam sebagai jalan untuk mengelak
serangan dan tipu daya syaitan ialah agar sentiasa seseorang itu mengingati
Allah apabila memulakan setiap pekerjaan. Satu riwayat daripada Abu Hurairah
berhubung dengan hal ini menyebutkan: "Syaitan bagi orang-orang mukmin telah
bertemu syaitan bagi orang-orang kafir, lalu di dapati syaitan bagi orang-orang
kafir dalam keadaan gemuk-montel sedangkan syaitan bagi orang-orang mukmin dalam
keadaan kurus kering bertelanjang dan kusut masai. Lalu syaitan bagi orang-orang
kafir itu bertanya kepada syaitan bagi orang-orang mukmin: Kenapa kamu kurus
kering?. Lalu ia menjawab: "Aku bersama seorang lelaki yang apabila ia makan ia
menyebut nama Allah, lalu aku terus kelaparan, apabila ia minum ia menyebut nama
Allah, lalu aku terus dalam keadaan dahaga, apabila ia memakai pakaian ia
menyebut nama Allah menyebabkan aku terus bertelanjang. Apabila ia memakai
minyak rambut juga ia menyebut nama Allah menyebabkan aku terus kusut masai".
Kemudian syaitan bagi orang-orang kafir itu berkata: "Tetapi aku bersama lelaki
yang tidak berbuat demikian sedikitpun, maka bolehlah aku berkongsi makan, minum
dan pakai dengannya".
Di
antara cara-cara untuk dijadikan kubu pertahanan menghadapi tipu daya dan godaan
syaitan ialah dengan cara:
1.
Janganlah terlalu kenyang apabila makan meskipun menghadapi makanan yang baik
dan halal kerana Allah berfirman:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا
Maksudnya: "Makanlah dan minumlah, tetapi jangan kamu
berlebihan". (Surah Al-A'raf 7: Ayat 31)
Rasulullah
s.a.w juga bersabda mengingatkan, maksudnya:
"Sesungguhnya
syaitan itu berjalan dalam tubuh anak Adam mengikut perjalanan darah. Oleh itu
sempitkanlah pintu masuknya dengan kelaparan". (Hadis riwayat
Ahmad)
2.
Membaca Al-Quran, berzikir mengingati Allah dan memohon keampunan sebagaimana
yang disuruh oleh Rasulullah s.a.w:
"Sesungguhnya
syaitan itu meletakkan belalainya ke atas hati anak Adam, maka jika ia
mengingati Allah ia pun lari daripadanya, jika sekiranya ia lupakan Allah
syaitan akan mengunyah hatinya".(Hadis riwayat Ibnu Abi
Dunya)
3.Tidak
tergopoh gapah dalam sebarang pekerjaan kerana mengingati pesanan Rasulullah
s.a.w:
"Bergopoh-gapah
(terburu-buru) itu adalah dari syaitan dan berhati-hati itu dari
Allah".
Sebenarnya
ruang ini adalah terbatas untuk menyebut semua sebab, amal-amal dan
pesanan-pesanan yang dianjurkan oleh Islam untuk menjaga diri dari serangan dan
godaan syaitan. Memadailah di sini kita melihat firman
Allah:
إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُمْ
مُبْصِرُونَ
Maksudnya:
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu
imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu
mereka nampak (jalan yang benar). (Surah Al-A'raf 7: Ayat 201).
Tidak ada komentar:
Posting Komentar