Saya Mestilah Muslim Dari Sudut Akhlaq
1.
Menjauhkan
diri dari perkara-perkara syubhat.
2.
Memelihara
pandangan.
3.
Memelihara
lidah.
4.
Bersifat
pemalu.
5.
Sersifat
lemah-lembut.
6.
Bersifat
benar.
7.
Bersifat
tawaduk.
8.
Menjauhi
sangka buruk dan mengumpat.
9.
Bermurah
hati.
Kemuliaan
akhlak adalah matlamat utama bagi ajaran Islam sebagaimana yang ditegaskan oleh
Rasulullah s.a.w tentang tujuan pengutusan baginda:
"Sesungguhnya
aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak".
Hal
ini dipertegaskan lagi di dalam Al-Quran:
الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَءَاتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا
بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
Iaitu
mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi
nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh
berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang
mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah
Al-Hajj, Ayat: 41).
Firman
Allah lagi:
لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ
ءَامَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالْكِتَابِ
وَالنَّبِيِّينَ وَءَاتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى
وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ وَأَقَامَ
الصَّلَاةَ وَءَاتَى الزَّكَاةَ وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُوا
وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ أُولَئِكَ الَّذِينَ
صَدَقُوا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ
Bukanlah
perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat,
tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat
dan segala malaikat dan segala Kitab dan sekalian Nabi dan mendermanya seseorang
akan hartanya sedang dia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim
dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada
orang-orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi dan mengerjanya
seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat dan perbuatan orang-orang
yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian dan ketabahan
orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga
dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian
sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan
kebajikan) dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa. (Surah Al-Baqarah,
Ayat: 177).
Kemuliaan
akhlak adalah tanda keimanan seseorang kerana ia adalah hasil dari keimanannya.
Adalah tidak dikira beriman seseorang yang tidak berakhlak. Berhubung dengan hal
inilah Rasulullah s.a.w menyatakan:
Bukanlah
iman itu hanya dengan cita-cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam di
dalam hati dan dibuktikan dengan amalan. (Hadis riwayat
Ad-Dailami).
Rasulullah
s.a.w pernah ditanya tentang apa itu agama? Baginda menjawab: Kemuliaan akhlak
(Husnul Khuluq). Apabila ditanya tentang apa itu kejahatan, baginda menjawab:
Akhlak yang buruk (Su'ul Khuluq).
Akhlak
mulia yang dimiliki oleh seseorang hamba merupakan amalan yang paling berat
dalam timbangan di hari kiamat nanti. Oleh itu sesiapa yang rosak akhlaknya dan
buruk amalannya tidak akan dipercepatkan hisabnya. Rasulullah s.a.w
bersabda:
Tidak
ada sesuatu yang lebih berat di atas neraca timbangan seorang hamba di hari
kiamat selain dari akhlak yang baik. (Hadis riwayat Abu Daud dan
Tirmizi).
Di
dalam Islam akhlak yang mulia itu lahir sebagai hasil dari berbagai ibadat yang
dilakukan. Tanpa hasil ini, tinggallah ibadat-ibadat itu sebagai upacara dan
gerak-geri yang tidak memiliki apa-apa nilai dan tidak membawa apa-apa faedah.
Berhubung dengan sembahyang contohnya, Allah s.w.t menyebut di dalam
Al-Quran:
إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ
Sesungguhnya
sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar. (Surah
Al-Ankabuut, Ayat: 45).
Rasulullah
menjelaskan perkara ini dengan sabdanya:
Sesiapa
yang sembahyang (tetapi) tidak dapat mencegah (dirinya) dari berbuat keji dan
mungkar, ia akan bertambah jauh dari Allah. (Hadis riwayat
Tabrani).
Rasulullah
s.a.w juga menyebut perkara yang sama bagi faedah ibadat
puasa:
Apabila
seseorang yang berpuasa, janganlah dia melakukan rafath (mengeluarkan kata-kata
yang boleh menimbulkan rasa berahi, lucah atau bersetubuh) dan bertengkar. Jika
dia dicerca atau diperangi maka katakanlah: Saya ini sedang berpuasa.
(Muttafaqun alaih).
Berhubung
dengan ibadat Haji pula Allah berfirman:
الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَعْلُومَاتٌ فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا
جِدَالَ فِي الْحَجِّ
(Masa
untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh
yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan)
ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat
maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. (Surah
Al-Baqarah, Ayat: 197).
Rasulullah
s.a.w bersabda:
Sesiapa
yang telah sempurna menunaikan Haji tanpa melakukan rafath (mengeluarkan
kata-kata yang boleh menimbulkan rasa berahi, lucah atau bersetubuh) dan
melakukan perkara-perkara yang fasiq, (bererti) dia kembali (dalam keadaan suci
bersih) sebagaimana hari dia dilahirkan oleh ibunya. (Muttafaqun
Alaih).
Sifat-sifat
Akhlak Seorang Muslim
Di
antara ciri-ciri akhlak yang sewajarnya menghiasi diri seseorang insan supaya
dia menjadi seorang muslim yang benar adalah akhlak-akhlak yang
berikut:
1.
Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara yang syubhat.
Seorang
muslim mestilah menjauhkan dirinya dari segala perkara yang dilarang oleh Allah
dan juga perkara-perkara yang samar-samar di antara halal dan haramnya (syubhat)
berdasarkan ajaran dari hadis Rasulullah s.a.w yang
berbunyi:
Sesungguhnya
yang hala itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang) dan di antara keduanya
ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan
manusia. Maka sesiapa yang memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran,
sesungguhnya dia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan sesiapa yang
jatuh ke dalam kesamaran, jatuhlah ia ke dalam yang haram, seperti seorang
penggembala yang menggembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat
(ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada
kawasan larangan. Ketahuilah bahawa larangan Allah ialah segala yang
diharamkannya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia
baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah seluruhnya.
Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan
Muslim).
Adapun
setinggi-tinggi pencapaian darjat wara' adalah sebagaimana yang diriwayatkan
oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadis baginda:
Seorang
hamba (Allah) itu tidaklah termasuk di dalam martabat golongan muttaqin
sehinggalah dia meninggalkan sesuatu perkara yang tidaklah menjadi kesalahan
(jika dilakukan tetapi ia meninggalkannya) kerana sikap berhati-hati dari
terjerumus ke dalam kesalahan.
2.
Memelihara Penglihatan:
Seseorang
muslim itu mestilah memelihara dirinya dari melihat perkara-perkara yang
diharamkan oleh Allah kerana pandangan terhadap sesuatu (yang menarik itu) boleh
merangsang syahwat dan merupakan faktor yang membawanya ke kancah pelanggaran
dan maksiat. Berhubung dengan perkara-perkara ini Al-Quran mengingatkan
orang-orang mukmin supaya memelihara diri dari penglihatan yang tidak memberi
faedah.
Allah
s.w.t berfirman:
قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ
Katakanlah
(wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat
pandangan mereka (daripada memandang yang haram). (Surah An-Nur, Ayat:
30).
Rasulullah
s.a.w pula bersabda:
Pandangan
itu ada satu penahanan dari penahanan iblis.
Baginda
juga mengingatkan:
Kamu
hendaklah memelihara pandangan kamu, menjaga kehormatan (kemaluan) kamu, jika
tidak Allah akan memburukkan muka kamu. (Hadis riwayat Tabrani).
3.
Memelihara Lidah:
Seseorang
muslim mestilah memelihara lidahnya dari menuturkan kata-kata yang tidak
berfaedah, perbuatan-perbuatan yang buruk dan kotor, percakapan-percakapan
kosong, mengumpat keji dan mengadu domba. Imam Nawawi rahimahullah
mengatakan:
Ketahuilah,
seseorang mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya dari sebarang percakapan
kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri
adalah sama sahaja hasilnya maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam
diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau
makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku tetapi kebaikan darinya adalah
jarang.
Sebenarnya
banyak dari hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang menerangkan keburukan dan bencana
lidah ke atas yang empunya diri:
Tidaklah
dihumbankan muka manusia ke dalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelek)
lidahnya. (Hadis Riwayat Tirmizi).
Rasulullah
s.a.w juga bersabda:
Bukanlah
dia seorang mukmin (jika) dia suka menuduh, suka melaknat, bercakap kotor dan
keji. (Hadis riwayat Tirmizi).
Sabdanya
lagi:
Sesiapa
yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya
banyaklah dosanya dan siapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak
untuk dirinya. (Diriwayatkan oleh Baihaqi).
4.
Bersifat Pemalu:
Seseorang
muslim mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Namun demikian sifat
tersebut tidak seharusnya menghalangnya dari memperkatakan kebenaran. Di antara
sifat pemalu seseorang ialah ia tidak masuk campur urusan orang lain, memelihara
pandangan, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika bercakap, berasa cukup
serta memadai sekadar yang ada serta sifat-sifat
seumpamanya.
Diceritakan
daripada Rasulullah s.a.w bahawa baginda adalah seorang yang sangat pemalu,
lebih pemalu dari anak gadis yang berada di balik tabir.
Rasulullah
s.a.w bersabda:
Iman
itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama
ialah ucapan Lailaha Illallah (Tidak ada tuhan yang sebenarnya melainkan Allah)
dan yang paling rendah ialah membuang duri dari jalan dan sifat malu ialah satu
cabang dari iman. (Hadis riwayat Baihaqi).
Berhubung
dengan sifat malu ini para ulama mengatakan:
Hakikat
malu itu ialah sifat yang menggerakkan seseorang itu meninggalkan kejahatan dan
menghalangnya dari mencuaikan hak orang lain.
5.
Bersifat Lemah-lembut dan Sabar:
Di
antara sifat-sifat yang paling ketara yang wajib tertanam di dalam diri
seseorang Muslim ialah sifat sabar dan lemah-lembut kerana kerja-kerja untuk
Islam akan berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan, malah
jalan dakwah sememangnya penuh dengan kepayahan, penyeksaan, penindasan,
tuduhan, ejekan dan persendaan yang memalukan. Semua halangan-halangan ini
sering dihadapi oleh para petugas amal Islami, sehingga hemah mereka menjadi
pudar, gerakan menjadi lumpuh malah mereka mungkin terus berpaling meninggalkan
medan dakwah.
Dari
keterangan ini jelaslah tugas dan tanggungjawab seseorang pendakwah adalah satu
tugas yang amat sukar. Ia bertanggungjawab menyampaikan dakwah kepada seluruh
lapisan manusia yang berbeza kebiasaan, taraf pemikiran dan tabiatnya. Da'ie
akan menyampaikan dakwahnya kepada orang-orang jahil dan orang alim, orang yang
berfikiran terbuka dan orang yang emosional (sensitif), orang yang mudah
bertolak ansur dan orang yang keras kepala, orang yang tenang dan orang yang
mudah tersinggung. Oleh yang demikian dia wajib menyampaikan dakwah kepada semua
golongan itu sesuai dengan kadar kemampuan penerimaan akal mereka. Ia mestilah
berusaha menguasai dan memasuki jiwa mereka seluruhnya. Semua ini sudah pasti
memerlukan kekuatan dari kesabaran yang tinggi, ketabahan dan lemah-lembut. Oleh
itu kita dapati banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadis Nabi menganjurkan dan
mengarahkan agar seseorang da'ie itu itu berakhlak dengan sifat sabar,
lemah-lembut dan berhati-hati.
A.
Arahan-arahan Dari Al-Quran:
Di
antara arahan-arahan Al-Quran ialah:
1.
Firman Allah:
وَلَمَنْ صَبَرَ وَغَفَرَ إِنَّ ذَلِكَ لَمِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ
Dalam
pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang
terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang
dikehendaki diambil berat (melakukannya). (Surah Asy-Syura, Ayat:
43).
2. Firman Allah:
فَاصْفَحِ الصَّفْحَ الْجَمِيلَ
Oleh
itu biarkanlah (golongan kafir yang mendustakan kamu itu wahai Muhammad) serta
layanlah mereka dengan cara yang elok. (Surah Al-Hijr, Ayat:
85).
3. Firman Allah:
إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ
Sesungguhnya
orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan
tidak terkira. (Surah Az-Zumar, Ayat: 10).
4. Firman Allah:
وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا أَلَا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ
Dan
(sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang
itu, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? (Surah An-Nur,
Ayat: 22).
5. Firman Allah:
وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا
Dan
apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada
mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak
diingini. (Surah Al-Furqaan, Ayat: 63).
B.
Arahan-arahan dari hadis-hadis Nabi ialah:
1. Sabda Rasulullah
s.a.w:
"Sesungguhnya
seorang hamba itu akan mencapai darjat orang-orang yang berpuasa serta
bersembahyang malam dengan sifat lemah-lembutnya".
2. Sabda
Rasulullah
s.a.w:
Mahukah
aku memberitahu kamu suatu perkara yang dengannya Allah akan memuliakan binaan
(kedudukan seseorang) dan mengangkatnya kepada beberapa darjat ketinggian.
Mereka menjawab: Ya! Wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Berlemah-lembutlah kamu
terhadap orang jahil, maafkanlah orang yang menzalimi kamu, hulurkanlah
pemberian kepada orang yang menahan pemberiannya kepadamu dan sambunglah
hubungan silaturahim terhadap orang yang memutuskannya terhadap
kamu.
3. Rasulullah
s.a.w juga bersabda:
Apabila
Allah s.w.t menghimpunkan makhluk-Nya di hari Kiamat, penyeru pada hari itu
menyeru: "Di manakah orang-orang yang mempunyai keistimewaan". Baginda bersabda:
"Lalu bangun segolongan manusia dan bilangan mereka adalah sedikit. Mereka semua
bergerak dengan cepat memasuki syurga lalu disambut oleh para malaikat."
Kemudian mereka ditanya: "Apakah keistimewaan kamu?" Mereka menjawab: "Apabila
kami dizalimi kami bersabar, apabila dilakukan kejahatan kepada kami, kami
berlemah-lembut". Lalu dikatakan kepada mereka: "Masuklah kamu ke dalam Syurga
kerana ia adalah sebaik-baik ganjaran bagi orang-orang yang
beramal".
C.
Contoh-contoh Praktikal Dari Nabi-nabi:
1.
Pada hari peperangan Hunain seorang (yang tidak puas hati dengan pembahagian
rampasan perang) berkata: "Demi Allah, sesungguhnya ini adalah pembahagian yang
tidak adil dan tidak bertujuan mendapat keredaan Allah". Setelah diceritakan
kepada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda:
Semoga
Allah merahmati Nabi Musa kerana ia disakiti lebih dari ini tetapi ia
sabar.
2.
Anas r.a telah berkata:
Pada
suatu hari Rasulullah s.a.w telah memasuki sebuah masjid. Ia memakai kain
selendang buatan Najran yang kasar buatannya. Tiba-tiba seorang Arab Badwi
datang dari arah belakang baginda lalu menarik kain tersebut dari belakang
sehingga meninggalkan kesan di leher baginda. Badwi tersebut berkata: "Wahai
Muhammad, berikanlah kepada kami harta Allah yang ada di sisimu, lalu Rasulullah
s.a.w berpaling kepadanya dengan wajah yang tersenyum dan baginda bersabda:
"Perintahkan kepada yang berkenaan supaya berikan
kepadanya.
3.
Abu Hurairah menceritakan:
Bahawa
seorang Arab Badwi telah berkata kepada Rasulullah s.a.w: "Wahai Muhammad!
Bawalah gandum ke atas dua ekor untaku, kerana kalau engkau buat begitu ia bukan
harta engkau dan bukan juga harta bapa engkau". Kemudian dia menarik kain
selendang Rasulullah s.a.w meninggalkan kesan kemerahan di leher baginda. Lalu
Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya membawa kepada Badwi tersebut seguni
gandum dan tamar.
4.
At-Tabrani menceritakan:
Bahawa
seorang wanita bercakap lucah (iaitu percakapan yang boleh membangkitkan berahi)
kepada sekumpulan lelaki, lalu dia melintas di hadapan Rasulullah s.a.w ketika
Nabi sedang memakan roti berkuah di atas tanah. Kemudian wanita tersebut
berkata: "Kamu lihatlah kepadanya, dia duduk seperti seorang hamba abdi dan dia
makan juga seperti seorang hamba abdi".
5.
Abu Hurairah r.a menceritakan:
Seorang
lelaki berkata: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya saya mempunyai kaum kerabat yang
selalu saya hubungi mereka tetapi mereka semua memutuskan hubungan dengan saya,
saya berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat kepada saya, saya
berlemah-lembut dengan mereka tetapi mereka bersikap keras kepada saya". Lalu
baginda bersabda: "Jika sekiranya engkau berbuat seperti yang engkau katakan
seolah-olah engkau menjemukan mereka dan engkau tetap akan mendapat pertolongan
dari Allah selama engkau berbuat demikian".
6.
Pada suatu ketika datang seorang Yahudi menuntut hutang daripada Rasulullah
s.a.w dengan berkata: "Kamu dari Bani Abd. Manaf adalah bangsa yang suka
melambat-lambatkan pembayaran hutang". Ketika itu Umar bin Al-Khattab ada
bersama dan dia hampir-hampir memenggal leher Yahudi itu, lalu Rasulullah s.a.w
berkata kepadanya: "Wahai Umar! Sepatutnya engkau menyuruhnya meminta kepadaku
dengan cara yang baik dan menuntut aku juga membayar dengan
baik".
7.
Diriwayatkan bahawa Nabi Isa a.s bersama para pengikut setianya (Hawariyyun)
menjelajah dari satu kampung ke satu kampung yang lain kerana berdakwah. Lalu di
dalam dakwahnya itu dia bercakap kepada manusia dengan cara yang baik,
sebaliknya mereka membalasnya dengan kata-kata yang buruk, kutukan dan
maki-hamun. Para pengikut setia Nabi Isa merasa hairan terhadap tindakan itu
lalu mereka bertanya tentang rahsia perbuatan sedemikian. Baginda berkata:
"Setiap orang itu mengeluarkan (membelanjakan) apa yang ada
padanya".
Semua
peristiwa di atas dan peristiwa lainnya menjadi bukti yang menguatkan lagi
tuntutan ke atas para pendakwah supaya bersifat lemah-lembut, sabar dan
berlapang dada khususnya apabila cabaran-cabaran yang menyakitkan itu datangnya
dari kaum kerabat, sahabat handai, orang-orang yang dikasihi, teman-teman rapat
dan saudara mara kerana sifat lemah-lembut, sabar dan berlapang dada itu akan
menghasilkan kasih-sayang, kelembutan hati dan menghapuskan perpecahan serta
perbezaan. Cukuplah seseorang pendakwah itu melakukan apa yang diredai oleh
Allah.
8.
Bersifat Benar dan Jujur.
Seorang
muslim itu mestilah bersifat benar dan tidak berdusta. Berkata benar sekalipun
kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah dan tidak takut kepada celaan
orang. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina malahan ia menjadi
pintu masuk kepada tipu daya syaitan. Seseorang yang memelihara dirinya dari
kebiasaan berdusta bererti dia memiliki pertahanan dan benteng yang dapat
menghalang dari was-was syaitan dan lontaran-lontarannya. Berhati-hati dan
memelihara diri dari sifat dusta akan menjadikan jiwa seorang itu mempunyai
pertahanan dan benteng yang kukuh menghadapi hasutan dan tipu-daya syaitan.
Dengan demikian jiwa seseorang akan sentiasa besih, mulia dan terhindar dari
tipu-daya syaitan. Sebaliknya sifat dusta meruntuhkan jiwa dan membawa kehinaan
kepada peribadi insan. Lantaran itu Islam mengharamkan sifat dusta dan
menganggap sebagai satu penyakit dari penyakit-penyakit yang
laknat.
Rasulullah
s.a.w bersabda:
Sesungguhnya
sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan itu membawa ke
syurga. Seseorang yang sentiasa bersifat benar hinggalah dicatat di sisi Allah
sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada
kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seorang lelaki yang
sentiasa berdusta sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta".
(Muttafaqun Alaih).
9.
Bersifat Rendah Diri
Seseorang
muslim mestilah bersifat tawaduk atau merendah diri khususnya terhadap
saudara-saudaranya yang muslim dengan cara tidak membezakan (dalam memberikan
layanan) sama ada yang miskin mahupun yang kaya. Rasulullah s.a.w sendiri
memohon perlindungan kepada Allah agar dijauhkan dari sifat-sifat takbur
(membangga diri). Baginda bersabda:
Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di
dalam hatinya terdapat sebesar zarrah (sedikit) sifat takbur". (Hadis riwayat
Muslim).
Di
dalam Hadis Qudsi pula Allah berfirman:
Kemuliaan
itu ialah pakaian-Ku dan membesarkan diri itu ialah selendang-Ku. Sesiapa yang
cuba merebut salah satu dari kedua-duanya pasti Aku akan menyeksanya".(Hadis
Qudsi riwayat Muslim).
10.
Menjauhi Sangka Buruk dan Mengumpat:
Menjauhi
sangka buruk, mengumpat dan mengintai-intai keburukan orang lain. Oleh itu
seseorang itu mestilah menjauhi sifat-sifat ini kerana mematuhi firman
Allah:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ
وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ
أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ
اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ
Wahai
orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak
menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan
itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan
keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.
Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika
demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu,
patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah;
sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Surah Al-Hujuraat,
Ayat: 12).
Allah
berfirman lagi:
وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا
بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا
Dan
orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan
orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak
tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah
memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata. (Surah
Al-Ahzaab, Ayat: 58).
Dan
Rasulullah s.a.w bersabda:
Wahai
golongan yang beriman dengan lidahnya sahaja, sedang iman belum memasuki
hatinya, janganlah kamu mengumpat orang-orang Islam yang lain dan janganlah kamu
mengintai-intai keburukan mereka, kerana sesiapa yang mengintai-intai keburukan
saudaranya, Allah akan membongkar keburukannya sekalipun dia berada di dalam
rumahnya". (Hadis riwayat Abu Daud).
11.
Bersifat Pemurah.
Seorang
Muslim mestilah bersifat pemurah, sanggup berkorban dengan jiwa dan harta
bendanya pada jalan Allah. Di antara cara yang dapat menyingkap kebakhilan
seseorang itu ialah dengan cara memintanya membelanjakan wang ringgit kerana
berapa banyak dari kalangan mereka yang berkedudukan, bercita-cita tinggi serta
berpangkat gugur tercicir dari jalan ini, disebabkan oleh sikap rakus terhadap
mata benda. Di dalam Al-Quran sendiri terdapat berpuluh-puluh ayat yang
menjelaskan ciri-ciri keimanan yang dikaitkan dengan sifat
pemurah.
Di
antaranya:
وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ
Dan
yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. (Surah
Al-Anfaal, Ayat: 3).
وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ خَيْرٍ فَلِأَنْفُسِكُمْ وَمَا تُنْفِقُونَ إِلَّا ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ
وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ خَيْرٍ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
Dan
apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya
dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan
sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan
dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu dan
(balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikuran. (Surah Al-Baqarah, Ayat:
272).
Orang-orang
yang bakhil atau kikir seharusnya mendengar dan mengambil pengajaran dari
pesanan Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
Tidak
ada suatu haripun yang dilalui oleh seorang hamba kecuali (hari-hari) didatangi
oleh dia Malaikat lalu salah satu darinya berdoa: "Ya Allah! Berikanlah ganti
kepada si hamba yang menafkahkan hartanya". Manakala Malaikat yang kedua pula
berdoa: Ya Allah! Berikanlah kebinasaan kepada si hamba yang bakhil
ini".
12.
Qudwah Hasanah (Suri Teladan Yang Baik)
Selain
dari sifat-sifat yang dinyatakan di atas, seorang muslim mestilah menjadikan
dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai. Segala tingkah-lakunya
adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti
dalam hal makan minum, cara berpakaian, pertuturan, dalam suasana aman, dalam
perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya.
(Kitab-kitab
yang membicarakan secara khusus mengenai tajuk ini yang dapat dijadikan sebagai
renungan oleh para pembaca di antaranya ialah Kitab Riyadhus Shalihin karangan
Imam Nawawi, Kitab Khuluqul Muslim (Akhlak Seorang Muslim) karangan Muhammad
Al-Ghazali, Ihya' Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali dan Hayat As-Sahabah
karangan Al-Kandahlawi).
Tidak ada komentar:
Posting Komentar