|
|
Saya Mestilah Muslim Di
Sudut Akidah
Berpegang
dengan akidah yang benar lagi murni adalah syarat pertama bagi seseorang mengaku
dirinya beragama Islam dan menjadikan Islam sebagai cara hidupnya. Pegangan
tersebut mestilah selari dengan apa yang terkandung di dalam Kitabullah
(Al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w. Ia mestilah beriman dengan apa yang
telah diimani oleh orang-orang Islam terdahulu yang terdiri dari angkatan
Salafus-Saleh serta para Imam penyampai agama ini yang telah diakui kebaikan,
kebaktian serta ketakwaan mereka. Mereka ini mempunyai kefahaman yang mendalam
lagi bersih dalam urusan agama.
Bagi
memastikan saya benar-benar Muslim dalam akidah maka saya mestilah beriman
dengan perkara-perkara berikut:
1. Saya
mestilah beriman bahawa pencipta alam ini adalah Allah, Tuhan yang Maha
Bijaksana lagi Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan
sesiapapun. Buktinya jelas pada kejadian alam ini yang penuh dengan keindahan,
kerapian dan keseimbangan, saling perlu memerlukan di antara juzuk dengan juzuk
yang lain. Adalah mustahil semua kejadian ini akan kekal dan berterusan
sekiranya tidak berada di bawah penjagaan Tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha
Kuasa. Firman Allah s.w.t:
لَوْ كَانَ فِيهِمَا ءَالِهَةٌ إِلَّا اللَّهُ لَفَسَدَتَا فَسُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ
Kalau
ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah
pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan
menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka
sifatkan.
(Surah Al-Anbiya' 21: Ayat 22)
2. Saya
mestilah beriman bahawa Tuhan yang Maha Mulia tidaklah mencipta segala kejadian
alam secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan. Kerana mustahil bagi Allah yang
bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan itu mencipta sesuatu secara sia-sia.
Adalah mustahil seseorang itu dapat memahami maksud tujuan Allah menjadikan
sesuatu secara terperinci melainkan melalui penjelasan Rasulullah s.a.w dan
wahyu dari Allah s.w.t sendiri. Firman Allah s.w.t:
أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ
الْحَقُّ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ
Maka
adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada
kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu
(menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan yang
demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap
Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang
mulia.
(Surah Al-Mu'minun 23: Ayat 115-116)
3. Saya
mestilah beriman bahawasanya Allah s.w.t telah mengutuskan Rasul-rasul dan
diturunkan untuk mereka kitab-kitab dengan tujuan mengajar manusia supaya
mengenali Allah dan memahami matlamat kejadian mereka, mengetahui asal-usul
mereka dan ke mana mereka akan kembali. Saya juga beriman bahawa Rasul terakhir
dari kalangan Rasul-rasul yang mulia itu ialah Nabi Muhammad s.a.w yang Allah
kurniakan kepadanya Al-Quran Al-Karim sebagai satu mukjizat yang berkekalan.
Firman Allah s.w.t:
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اُعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى
اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ فَسِيرُوا فِي
الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ
Dan
sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul
(dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan
jauhilah taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada
yang diberi hidayat petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa
kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana
buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.
(Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)
4. Saya
mestilah beriman bahawa matlamat kewujudan insan ialah mengenali Allah
'Azzawajalla seperti mana yang Allah s.w.t sendiri menjelaskannya, memberi penuh
ketaatan kepadaNya dan mengabdikan diri kepadaNya. Firman Allah
s.w.t:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ مَا أُرِيدُ
مِنْهُمْ مِنْ رِزْقٍ وَمَا أُرِيدُ أَنْ يُطْعِمُونِ إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ
ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ
Dan
(ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang
rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi
makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada
sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak
terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.
(Surah Al-Zariyat 51: Ayat 56-58)
5. Saya
mestilah beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang taat kepada Allah ialah
syurga. Manakala balasan ke atas orang kafir lagi derhaka ialah api neraka.
Allah menjelaskan:
فَرِيقٌ فِي الْجَنَّةِ وَفَرِيقٌ فِي السَّعِيرِ
"....sepuak
masuk Syurga dan sepuak lagi masuk Neraka."
(Surah Al-Syura 42: Ayat 7)
6. Saya
mestilah beriman bahawa sekalian manusia melakukan kebaikan dan kejahatan dengan
pilihan dan kehendak mereka sendiri. Namun demikian kebaikan yang dilakukan itu
tidaklah berlaku, melainkan dengan taufik dan 'inayah dari Allah. Manakala
amalan jahat pula tidaklah merupakan paksaan dari Allah tetapi ianya termasuk
dalam batasan keizinan dan kehendakNya. Firman Allah
s.w.t:
وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا
وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا
Demi
diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai
dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya
kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah
orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan
iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan
dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab
kekotoran maksiat).
(Surah al-Syams 91: Ayat 7-10)
Dan
firman Allah s.w.t;
كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ
Tiap-tiap
diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang
dikerjakannya.(Surah Al-Muddathir 74: Ayat 38).
7. Saya
juga mestilah beriman bahawa urusan penciptaan undang-undang itu adalah hak
mutlak Allah s.w.t. Tidak harus sama sekali manusia mendahului atau
membelangkanginya. Apa yang dibolehkan ialah ilmuan Muslim atau para ulama'
berijtihad mengeluarkan hukum-hukum dari nas-nas Syari'at dalam batas-batas yang
diizinkan. Firman Allah s.w.t:
وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِنْ شَيْءٍ فَحُكْمُهُ إِلَى اللَّهِ ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبِّي عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ
أُنِيبُ
Dan
(katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama
yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah;
Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah
diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan).
(Surah Al-Syura 42: Ayat 10)
8. Saya
mestilah berusaha mengetahui nama-nama dan sifat-sifat Allah yang layak bagi
kemuliaanNya. Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w telah
bersabda:
لِلَّهِ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ اسْمًا مِائَةٌ إِلَّا وَاحِدًا
لَا يَحْفَظُهَا أَحَدٌ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ وَهُوَ وَتْرٌ يُحِبُّ
الْوَتْرَ
"Allah
s.w.t mempunyai sembilan puluh sembilan nama, kurang satu seratus. Sesiapa yang
menghafaznya akan memasuki syurga. Allah itu ganjil (tunggal) dan menyukai
(bilangan) yang ganjil." (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)
9. Saya
mestilah berfikir merenungi kehebatan kejadian-kejadian Allah, bukan memikirkan
tentang ZatNya sebagai mengikuti dan mentaati perintah Rasulullah
s.a.w:
تفكروا فى خلق الله ولا تتفكروا فى الله فإنكم لن تقدروا قدره
"Berfikirlah
kamu tentang makhluk ciptaan Allah dan janganlah kamu memikirkan tentang ZatNya
kerana kamu tidaklah mengetahui keadaan sebenarnya."
(Hadis diriwayatkan oleh Abu Nu'aim di dalam Al-Halyah dan
Al-Asbahani meriwayatkannya di dalam Al-Taghrib wa Al-Tarhib)
10. Berhubung
dengan sifat-sifat Allah s.w.t terdapat banyak ayat-ayat suci Al-Quran Al-Karim
yang membuktikan kesempurnaan ketuhanan(UluhiyyahNya). Kita dapati beberapa ayat
Al-Quran membuktikan kewujudan Allah, sifat baqa' (kekal), sifat qadim (sedia
ada), sifat Ia berlainan dengan segala makhluk, tidak mempunyai anak, tidak ada
yang menandingiNya. Kita juga menemui ayat-ayat yang menunjukkan Tuhan itu wujud
dengan sendirinya, Maha Kaya dari segala makhlukNya dan makhluk berhajat
berhajat kepada kebesaranNya. Demikian juga kita menemui ayat-ayat yang
menunjukkan keEsaan Allah pada ZatNya, sifat-sifatNya dan perbuatanNya,
kekuasaanNya, keagunganNya dan keluasan ilmuNya ke atas sesuatu. Kita temui lagi
ayat-ayat yang menunjukkan iradah Allah mengatasi segala iradah yang lain dan
Allah itu bersifat hidup yang penuh dengan kesempurnaan.
Selain
dari sifat-sifat yang disebut tadi, masih banyak lagi ayat-ayat yang menerangkan
sifat-sifat kesempurnaan lain bagi Allah s.w.t yang tidak tercapai oleh daya
pemikiran manusia yang terbatas, tentang hakikat sebenarnya. Maha Suci Allah,
kita tidaklah dapat membataskan pujian kita terhadapNya sebagaimana memuji
dirinya sendiri.
11. Saya
mesti meyakini bahawa pendapat dan pandangan para salaf adalah lebih utama untuk
diikuti supaya dapat menyelesaikan perbahasan tentang penta'wilan dan
pentha'thilan sesetengah ayat suci Al-Quran, yakni membiarkan sebahagian dari
sifat-sifat Allah di dalam Al-Quran dengan menyerahkan hakikat sebenar mengenai
maknanya kepada Allah s.w.t.
Saya
juga mesti meyakini bahawa berbagai bentuk penta'wilan sesetengah ayat-ayat
tertentu oleh golongan khalaf (terkemudian) tidak wajar dijadikan sebab kepada
perselisihan yang berlarutan dan jangan sampai timbul kembali perbalahan di
antara golongan khalaf di masa lampau mahupun masa kini.
12. 13. Saya
juga mesti mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata tidak menyekutukan
dengan yang lain. Ini saya lakukan kerana menyahut seruan Allah dan RasulNya
yang menyeru manusia supaya mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata dan
tidak tunduk kepada sesuatu selain Allah. Amaran ini jelas dalam firman Allah
s.w.t:
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اُعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ
Dan
sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul
(dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan
jauhilah taghut.
(Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)
13. Saya juga
mestilah takut hanya kepadaNya dan tidak takut kepada yang lain. Perasaan takut
tersebut seharusnya menyebabkan saya menjauhi kemurkaan Allah dan
larangan-laranganNya.
Allah
s.w.t menjelaskan:
وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَخْشَ اللَّهَ وَيَتَّقْهِ فَأُولَئِكَ هُمُ
الْفَائِزُونَ
Dan
sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah
serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah
orang-orang yang beroleh kemenangan.
(Surah Al-nur 24: Ayat 52)
Firman
Allah s.w.t seterusnya:
إِنَّ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ بِالْغَيْبِ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ
كَبِيرٌ
Sesungguhnya
orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat
orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan
pahala yang besar.
(Surah Al-Mulk 67: Ayat 12)
14. Saya
mesti sentiasa mengingati Allah dan berzikir menyebut namaNya untuk menjadikan
diam saya itu adalah dalam keadaan berfikir dan apabila bercakap adalah kerana
berzikir. Ini paling mujarab untuk jiwa dan senjata paling ampuh untuk
menghadapi serangan-serangan zaman ini, pancaroba kehidupan serta asam garamnya.
Inilah penawar yang sangat diperlukan oleh manusia zaman ini. Sungguh benar
peringatan Allah yang menyatakan:
الَّذِينَ ءَامَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ
الْقُلُوبُ
(Iaitu)
orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah".
Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.
(Surah Al-Ra'ad 13: Ayat 28)
FirmanNya
lagi:
وَمَنْ يَعْشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ
وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ السَّبِيلِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ مُهْتَدُونَ
Dan
sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah)
Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan
menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang
daripadanya. 37- Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka
dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang
mendapat hidayat petunjuk.
(Surah Al-Zukhruf 43: Ayat 36-37).
Dr.
Briel sendiri mengakui kenyataan ini dengan menegaskan "sesungguhnya orang-orang
yang berpegang teguh dengan agama, ia tidak akan dihinggapi penyakit jiwa.
Manakala seorang pakar jiwa Dr. Riel Karienji menyatakan: "Sebenarnya para
doktor penyakit jiwa menyedari bahawa keimanan yang kukuh dan pegangan yang
teguh terhadap ajaran agama oleh seseorang adalah satu jaminan untuk
menyembuhkan mereka darri penyakit gelisah, tegang perasaan, penyakit saraf dan
lain-lain.
15. Saya
juga wajib menyintai Allah dengan sebenar-benar cinta. Cinta yang menjadikan
hati saya sentiasa merasa rindu dan terikat denganNya. Kecintaan itu juga
mendorong saya menambah amalan-amalan kebaikan, berkorban dan berjihad di
jalannya di sepanjang masa. Sekalipun hidup dalam kemewahan dan keseronokan
dunia serta kecintaan terhadap kaum kerabat, semuanya tidak sepatutnya
menghalang saya dari mencintai Allah. Ini adalah sejajar dengan seruan Allah
yang mengingatkan:
قُلْ إِنْ كَانَ ءَابَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ
اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ
إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى
يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ
الْفَاسِقِينَ
Katakanlah
(wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara
kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta
benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan
rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi
perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan
(daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan
keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada
orang-orang yang fasiq (derhaka).
(Surah Al-Taubah 9: Ayat 24)
Pengorbanan
demikian saya lakukan adalah untuk dapat merasai kelazatan dan kemanisan iman
seperti yang disyaratkan oleh Rasul yang mulia s.a.w:
ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ
أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ
إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ
يُقْذَفَ فِي النَّارِ
"Barang
siapa yang ada padanya tiga syarat ini, ia dapat merasai kemanisan iman: Jika ia
mencintai Allah dan rasulNya mengatasi kasihnya kepada yang lain. Jika ia
menyintai seseorang, tidaklah ia cintai melainkan kerana Allah. Jika ia benci
untuk kembali ke dalam kekufuran sebagaimana ia benci untuk memasuki api
neraka."
16. Saya
mesti bertawakal sepenuhnya kepada Allah dalam setiap keadaan dan menyandarkan
setiap urusan kepadanya. Sifat tawakal inilah yang membangkitkan kekuatan zahir
dan batin di dalam jiwa dan diri saya yang menyebabkan segala kepayahan dapat
dihadapi dengan mudah. Sifat ini menepati seruan Allah
s.w.t:
وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ
"....sesiapa
berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk
menolong dan menyelamatkannya).
(Surah Al-Talaq 65: Ayat 3)
Lihat
betapa indahnya pesanan Rasulullah s.a.w untuk kita, di dalam sebuah
hadisnya:
احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا
اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ
عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ
اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ
إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْالْأَقْلَامُ
وَجَفَّتْ الصُّحُفُ قَالَ هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
"Pelihara
titah perintah Allah nescaya ia akan memelihara engkau (sepanjang masa),
peliharalah larangan Allah nescaya engkau dapati ia selalu di hadapanmu. Apabila
kamu meminta, hendaklah kamu meminta kepada Allah dan apabila kamu engkau
memohon hendaklah engkau memohon petolongan dari Allah. Ketahuilah, seandainya
umat manusia sepakat untuk memberi sesuatu manfaat untukmu, mereka tidak dapat
memberinya melainkan mengikut apa yang telah Allah tetapkan untukmu dan
sekiranya mereka sepakat untuk menimpakan engkau dengan sesuatu keburukan
tidaklah mereka dapat melakukannya melainkan dengaan sesuatu yang Allah Taala
telah tentukan ke atas dirimu, kerana telah terangkat pena dan telah kering
kertas (telah ditentukan kesemuanya)."
17. Saya
mestilah mensyukuri nikmat-nikmatnya ke atas diri saya yang merupakan kurniaan
dan rahmat yang tidak terhitung jumlahnya. Bersyukur itu adalah satu dari tanda
kemuliaan adab seseorang penerima terhadap pemberi dan pengurnia. Allah
menyatakan:
وَاللَّهُ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لَا تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ
وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Dan
Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui
sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta
hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.
(Surah Al-Nahl 16: Ayat 78)
Seterusnya
Allah berfirman:
وَءَايَةٌ لَهُمُ الْأَرْضُ الْمَيْتَةُ أَحْيَيْنَاهَا وَأَخْرَجْنَا مِنْهَا حَبًّا
فَمِنْهُ يَأْكُلُونَ(33)وَجَعَلْنَا فِيهَا جَنَّاتٍ مِنْ نَخِيلٍ وَأَعْنَابٍ
وَفَجَّرْنَا فِيهَا مِنَ الْعُيُونِ(34)لِيَأْكُلُوا مِنْ ثَمَرِهِ وَمَا
عَمِلَتْهُ أَيْدِيهِمْ أَفَلَا يَشْكُرُونَ
Dan
dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah
bumi yang mati; kami hidupkan ia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian,
maka daripada biji-bijian itu mereka makan. 34- Dan kami jadikan di bumi itu
kebun-kebun kurma dan anggur dan kami pancarkan padanya beberapa mata air, 35-
Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan
mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?.
(Surah Yasin 36: Ayat 33-35)
Sebenarnya
Allah s.w.t telahpun menambahkan kurnianya kepada orang-orang yang bersyukur dan
mengugut akan menambah kerugian terhadap golongan yang ingkar. Firman
Allah:
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ
إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
Dan
(ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur
nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu
kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.
(Surah Ibrahim 14; Ayat 7)
18. Saya
mestilah sentiasa beristighfar memohon keampunan kepada Allah, istighfar itu
dapat membersihkan diri dari dosa di samping memperbaharui taubat dan iman.
Istighfar juga dapat memberikan kerehatan dan keheningan kepada jiwa.
Allah
berfirman:
وَمَنْ يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ
اللَّهَ غَفُورًا رَحِيمًا
Dan
sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan
melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan
mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah Al-Nisa' 4: Ayat 110)
Firman
Allah seterusnya:
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ
فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ
يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ
Dan
juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri
sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka
dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka
juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan
mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
(Surah Ali-'Imran 3: ayat: 135)
19. Akhir sekali
saya juga mestilah sentiasa bermuraqabah (merasai berada di bawah pengawasan)
dengan Allah s.w.t dalam keadaan terang mahupun tersembunyi kerana mengingatkan
firman Allah:
مَا يَكُونُ مِنْ نَجْوَى ثَلَاثَةٍ إِلَّا هُوَ رَابِعُهُمْ وَلَا خَمْسَةٍ إِلَّا هُوَ
سَادِسُهُمْ وَلَا أَدْنَى مِنْ ذَلِكَ وَلَا أَكْثَرَ إِلَّا هُوَ مَعَهُمْ أَيْنَ مَا
كَانُوا ثُمَّ يُنَبِّئُهُمْ بِمَا عَمِلُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّ اللَّهَ
بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Tiada
berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dialah yang keempatnya dan tiada
(berlaku antara) lima orang melainkan Dialah yang keenamnya dan tiada yang
kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Dia ada
bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian Dia akan memberitahu
kepada mereka pada hari kiamat, apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah Al-Mujadalah 58: 7)
|
|
|
Jumat, 21 Maret 2014
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar